Sunday, May 6, 2012

Murid maut terkena bilah pembajak


Oleh Azmi Md Deros

2012/05/07

KUALA NERANG: Seorang murid Tahun Tiga maut selepas parah terkena bilah jentera pembajak ketika mengikut bapa saudaranya membajak sawah di Kampung Kubang Palas, dekat sini, pagi kelmarin.

Kejadian pada kira-kira jam 10 pagi berlaku ketika, Muhammad Fariz Najmi Norizan, 9, yang duduk di bahagian tepi traktor dipandu bapa saudaranya, Habibullah Halim, 30-an, terjatuh tanpa disedari bapa saudaranya itu.
Datuk saudara mangsa, Yusof Awang, 59, berkata selepas memandu kira-kira satu kilometer dari rumah mereka, Habibullah menuruni tebing sawah untuk melakukan kerja membajak dan ketika itu Muhammad Fariz duduk di bahagian tepi jentera pembajak berkenaan.
“Selepas membajak kira-kira 30 meter, Habibullah mendapati mangsa tiada di sebelahnya dan dia segera menoleh ke belakang.

“Dia terkejut mendapati Muhammad Fariz terbaring tidak jauh dari situ dengan badannya disaluti lumpur dan berlumuran darah.

“Habibullah segera mendapatkan mangsa dan mendapati dia sudah tidak bernyawa kerana kecederaan parah di kepala dan seluruh badan,” katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Nerang (HKN) di sini untuk bedah siasat. 
Yusof berkata, Muhammad Fariz yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Palas, di sini, dipercayai terjatuh ketika traktor terbabit dalam keadaan tidak stabil ketika menuruni tebing untuk masuk ke dalam sawah sebelum itu.

Ibu bapa mangsa, Norizan Halim, 40-an dan isterinya, Razamah Abdullah, 40, enggan ditemubual kerana sedih dengan kehilangan anak mereka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad, berkata mangsa mati di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan akibat terkena bilah jentera pembajak berkenaan.

“Dia dipercayai terjatuh ketika duduk di bahagian tepi jentera berkenaan lalu terkena bilah jentera berkenaan yang berputar,” katanya.

No comments:

Post a Comment