Sunday, May 6, 2012

Hukum bukan Islam bayar zakat


ARKIB : 04/05/2012
perlakuan baik serta ikhlas adalah amat dituntut dalam Islam. - Gambar hiasan
SAYA mempunyai seorang teman yang bukan Islam. Dia mendakwa setiap tahun dia mengeluarkan zakat kepada orang-orang miskin dan anak-anak yatim yang beragama Islam. Alasannya, setelah dia berzakat maka perniagaannya kian meningkat. Setahu saya, zakat hanyalah wajib ke atas orang Islam. Apakah hukumnya dan mohon penjelasan pihak ustaz?
Jawapan
Terlebih dahulu, syabas dan tahniah diucapkan kepada teman saudara itu, kerana masih mahu mengeluarkan zakat walaupun dia sedar dirinya belum lagi menganut agama Islam. Mudah-mudahan Allah SWT membukakan jendela hatinya untuk menerima kemasukan cahaya Islam dan menjadi seorang Muslim yang soleh suatu masa nanti.
Suka dimaklumkan, bahawa zakat adalah kefarduan yang telah tertentu syaratnya. Antara syarat wajib bagi seseorang itu sebelum dia boleh mengeluarkan zakat, ialah Islam.
Oleh itu, secara jelas bahawa seseorang yang masih belum menjadi Islam, maka dia masih belum layak mengeluarkan zakat.
Allah SWT menyatakan di dalam firman-Nya: Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23)
Ayat di atas ditafsirkan oleh para mufassirin, betapa amal perbuatan yang baik yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, ia tidak akan mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Di akhirat, ia ibarat debu-debu berterbangan dan tidak mampu untuk menjadi 'anak kunci' bagi memasuki syurga Allah. Ini kerana, amal itu tiada nilai di sisi-Nya melainkan mereka terlebih dahulu menjadi seorang Muslim.
Oleh itu, seseorang yang belum Islam apabila mereka mengeluarkan zakat, ia hanyalah suatu pemberian yang bersifat kemanusiaan semata-mata. Hukumnya tidak sah, kerana pembayarnya bukan seorang Islam.
Namun, pihak pengurusan zakat boleh menerima pemberian itu dan dianggap sahaja sebagai penerimaan biasa, sama ada hadiah atau apa sahaja, dan bukannya zakat. Wang itu boleh dimasukkan ke dalam Baitulmal dan penggunaannya adalah untuk maslahah atau kebajikan umum.
Namun begitu, bagaimana pula jika satu masa nanti si bukan Islam itu memeluk Islam, adakah dia wajib mengqada kembali zakatnya? Jawabnya, tidak wajib bahkan tidak perlu sama sekali.
Adakah akan diberi pahala atas amal kebaikannya sebelum Islam selepas dia memeluk Islam? Jawapannya, pahala dan dosa hanya diambil kira selepas waktu keislamannya. Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang memeluk Islam, kemudian (selepas) Islamnya menjadi baik, nescaya Allah menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu, setiap (amal) kebaikannya dibalas (Allah) sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda. Sedangkan kejahatannya dibalas (hanya) setimpal dengan kejahatan itu, melainkan jika Allah memaafkannya. (riwayat Bukhari).
Apakah orang yang murtad termasuk kategori bukan Islam? Jawabnya tidak, bahkan orang yang murtad perlu dinasihati atau jika perlu diperangi oleh pemerintah Islam sehingga mereka kembali memeluk Islam dan mengeluarkan zakat hartanya.
Hal ini disandarkan kepada ijtihad Abu Bakar as-Siddiq. Bahkan fuqaha menyatakan bahawa, jika seseorang itu kembali memeluk Islam selepas menjadi murtad, dia hendaklah mengqadakan semua zakat yang telah terlepas waktunya semasa dia menjadi murtad.
Bolehkah pula orang bukan Islam dipaksa membayar zakat? Jawabnya tidak. Allah SWT menyatakan: Tiada paksaan dalam beragama (memeluk agama Islam). (al-Baqarah: 256). Fuqaha menegaskan, bukan Islam tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu ibadah yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam, kecuali sesudah mereka memeluk Islam dan mendalami Islam, baharulah mereka boleh dipaksa melakukannya.
Hal ini berpandukan kaedah Muadz bin Jabal yang diperintahkan oleh Rasulullah agar hanya mengambil zakat setelah penduduk Yaman memeluk Islam dan mendirikan solat. Ini menunjukkan betapa telitinya nabi dalam melaksanakan kewajipan secara berperingkat-peringkat kepada penduduk Yaman.
Hal ini juga boleh dijadikan iktibar kepada kita dalam melaksanakan kewajipan zakat kepada orang-orang yang baharu memeluk Islam, yakni hendaklah melalui proses pendidikan (tarbiyyah) baharulah diikuti dengan penguatkuasaan.
Berkongsi harta
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa agar orang-orang yang masih belum menerima Islam ini tetapi sudah bersedia berkongsi hartanya agar mendapat hidayah daripada Allah SWT. Ini kerana, amal perbuatan yang baik itu amat besar ertinya jika dia telah memeluk Islam.
Sebagaimana sebuah kisah berlaku pada zaman nabi, seorang pemuda telah datang dan berkata: Saya akan turut berperang lebih dahulu, kemudian baru saya memeluk Islam." Nabi SAW bersabda: "Islamlah engkau lebih dahulu, kemudian berperang!" Lalu lelaki itu pun memeluk Islam, kemudian dia turut berperang dan terbunuh. Rasulullah SAW bersabda: "Dia (lelaki berkenaan) bekerja sedikit, tetapi banyak beroleh pahala. (riwayat Bukhari). Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment