Wednesday, May 16, 2012

Jualan dinar, dirham lebih RM40.9 juta


Rizal Tahir,30 Dis 2011

KOTA BHARU, 30 Dis:Pencapaian Kelantan Gold Trade (KGT) sepanjang tahun ini begitu membanggakan sehingga mencecah jualan bersih dinar dan dirham berjumlah RM40,947,972.
(Rekabentuk baru Dinar Kelantan)
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata dengan pencapaian itu KGT muncul sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang begitu aktif dalam urusan jual belinya.
Husam memberitahu, keuntungan kasar yang diperolehi KGT sepanjang tahun ini RM5,211,484 selepas ianya mula ditubuhkan setahun lalu.
Husam menjangkakan keuntungan bersih itu akan meningkat lagi pada tahun hadapan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya petang semalam.
“Hari ini juga kita akan perkenalkan reka bentuk baru dinar sempena tahun baru hijrah 1433 hijrah, termasuk mengeluarkan setengah dinar, 2.16 gm, dua dinar, lapan dinarpun ada,” ujarnya.
Husam berkata, perbezaan dinar lama dengan yang baru dikeluarkan ini, ciri-ciri keselamatan, termasuk kalimah ‘Lailahaillallah.. Muhammadurasulullah yang menggunakan hologram.
Sehubungan itu, Husam berkata, dinar berkenaan muncul sebagai dinar yang pertama mempunyai ‘hologram’.
Tambahnya lagi, sepanjang tempoh pengeluaran dinar dan dirham di negeri ini, ianya diakui terbaik berbanding yang dikeluarkan dalam sejarah manusia.
Husam juga turut mendedahkan Dinar Kelantan mempunyai Kod DNA untuk menjaga keselamatan dinar tersebut.
“Kita jangka dinar ini akan diedarkan pertengahan Febuari 2012,” ujarnya.
Selain itu, katanya KGT turut mengeluarkan ‘dirham kenangan’ bernilai 10 dirham untuk golongan remaja dan wanita yang boleh dibeli dengan harga RM250, iaitu mengikut harga pasaran semasa.
Katanya, pengeluaran dirham itu begitu terhad dan mempunyai reka bentuk yang menarik sempena keluaran khas.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang berminat untuk memiliki dinar dan dirham berwajah baru itu boleh didapati di wakalah (cawangan yang sah) sama ada dalam dan luar Kelantan.

Lelaki Ini Lari Melalui Tingkap Tak Mahu Berzina..


http://www.ibnuhasyim.com,17 Mei 2012



Seorang pelajar Yaman yang tinggal di Arizona dipaksa untuk melakukan perzinaan oleh 5 pelajar Amerika Syarikat di apartmennya yang berdekatan dengan kampus tempat ia belajar.

Sebagaimana dilaporkan oleh Al Arabiya 13 Mei 12, lima perempuan itu merupakan teman satu fakulti memasuki apartemen tempat tinggal Isham As Syar’abi. Mereka berbogel setelah mengunci pintu apartmen untuk menghalangi pelajar Yaman tersebut melarikan diri.

Namun pemuda itu berjaya keluar dari apartmen setelah melompat melalui tingkap biliknya. Setelah keluar Isham segera melapor ke pos keselamatan terdekat hingga pengawal keselamatan itu  menangkap 5 pelajar tersebut.

Menurut hasil penyidikan, diketahui bahawa pelajar wanita itu telah berkali-kali mengajak Isham melakukan perzinaan. Namun pemuda Yaman itu menolaknya kerana menurutnya hal itu dilarang oleh agama jika tidak didasari oleh pernikahan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah sikap seorang pemuda Islam tulin, ia tetap mengikuti peraturan yang diperintahkan kepadanya.  Ia tetap patuh kepada resepi atau menu oleh pencipta agama yang dianut itu.

Kerana Muhammad SAW, wakil pemberi peringatan penguatkuasaan itu, pernah mengingatkan  mengenai 7 Golongan Yang Mendapat Perlindungan ArashNya (hadiah istimewa dari Allah) di Akhirat, seperti yang dirawikan oleh Abu Hurairah. Rasul SAW itu berkata...
"Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.
  • Pemimpin yang adil;
  • pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT;
  • seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
  • 2 lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
  • lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah;
  • seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;
  • dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”
(Riwayat Muslim)

Okey, mari kita hurai sikit.. 

Satu: Pemimpin atau Imam yang adil.
Ertinya, setiap pemimpin bertanggungjawab atas jagaannya. Ia akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak. Perdana Menteri Malaysia tetap bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi kepada rakyatnya. Senang susah, adil atau zalim (contohnya perlakuan terhadap peserta Bersih 3.0 baru-baru ini), zina buang bayi, segala macam maksiat, dasar pendidikan tempang dan lain-lain.

Oh, seronok sangatlah, kepada pemimpin-pemimpin yang adil, melaksanakan amanah dan hukum Allah SWT ke atas tadbirannya. Ia dapat hadiah ' Perlindungan ArashNya di Akhirat.' Begitu juga pemimpin-pemimpin lain, termasuk suami memimpin isteri atau isteri-isteri, isteri memimpin anak-anak, pimpinan yang diamanahkan tugas kepada mereka. Dan  sebagainya.

Dua: Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah.
Naungan Ilahi ini juga dijanjikan kepada lelaki dan perempuan yang sentiasa hidup atau membesar dalam ibadah kepada Allah. Bukan nanti tua baru nak ibadat. Ibadat dalam ertikata yang luas, ibadat khas dan ibadat umum. Sentiasa menyedari bahawa Allah melihat segala perbuatannya. Di mana segalanya di bawah kawalan dan naungan Ilahi.

Tiga: Lelaki yang hatinya sentiasa rindukan (teringat-ingatkan) rumah Allah.
Begitu jua bagi lelaki yang hatinya sentiasa rindukan rumah Allah. Tertunggu-tunggu setiap masa untuk beribadah di dalamnya. Baik untuk sembahyang wajib lima waktu setiap hari dan untuk ibadah lain.

Empat: Dua orang lelaki yang cinta mencintai kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Al-Allah. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda..

“Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah”.
Malaikat bertanya: “Nak kemana?”
Dijawab: “Aku mahu menziarah saudara ku… … ..”
Tanya malaikat lagi: Untuk apa?”
Lelaki itu menjawab: Tiada apa-apa tujuan.”
Ditanya lagi: “Apa hubungan dengan kamu?”
Lalu dijawab oleh lelaki itu:” Tiada apa-apa hubungan.”
Ditanya lagi: ” Apa budinya kepada kamu?”
Dijawab:”Tiada apa-apa pun.” Ditanya lagi:”
Apa tujuannya?” Lelaki itu menjawab:
"Aku mencintainya kerana Allah.” Berkata malaikat: sesungguhnya Allah telah mengutusku kepada mu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka ALLAH telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNYA.”(Riwayat Muslim)

Perasaan sayang dan kasih, atau cinta terhadap seseorang bukan kerana ada tujuan lain. Bukan untuk memikat anak gadisnya atau hartanya, sebaliknya hanya mengharap keredhaan Ilahi. Hanya kerana Allah hubungan ini dieratkan.

Lima: Lelaki apabila mengingati Allah bersendirian menitis airmatanya.
Hadirnya perasaan takut kepada Allah walaupun bersendirian sehingga menitis airmatanya. Ianya bukan saja-saja tetapi hadir dari hati yang menginsafi kebesaran Allah SWT.

Enam: Seorang lelaki yang dirangsang atau digoda oleh seorang perempuan berdarjat lagi cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Tidak! Aku takutkan Allah” (inni akhofullah)
Sesiapa yang takut untuk berbuat kesalahan, takut kepada Allah dan azab api neraka akan sentiasa mendapat perlindungan dariNYA, seperti kisah pemuda  di atas.

Tujuh: Lelaki yang bersedekah dan tidak pula dimegah-megahkannya.
Pemberian yang mengharapkan balasan dari Ilahi tidak akan diperbesar-besarkan. sebaliknya akan dilakukan secara tersembunyi. Sehingga digambarkan seolah-olah tangan yang kiri tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanan. Lupakan kebaikan dan pemberian kita, sebaliknya banyak mengingatkan kesilapan dan kesalah diri kita terhadap Allah dan orang lain.

Kesimpulan: 

Rebutlah peluang ini, jadilah orang yang beruntung di akhirat. Tiada yang mustahil untuk kita lakukan. Jadilah hambaNYa yang ikhlas dan redha atas segala yang berlaku. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat perlindunganNYA selalu. (IH)

Galaxy S III versi Android


Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


SEMAKIN ramai pengguna telefon pintar mula beralih kepada jenama Samsung terutamanya sejak pelancaran beberapa gajet baharu Samsung seperti Galaxy S III.


PENGELUAR produk elektronik dan gajet digital, Samsung baru-baru ini memperkenalkan ahli terbaharu dalam keluarga telefon pintar Galaxy, Samsung Galaxy S III.
Bermula dengan Galaxy dan kemudiannya Galaxy S2, Samsung berjaya menawan hati bukan sahaja peminat Android tetapi juga pengguna iPhone sendiri.
Tindakan Samsung melancarkan Galaxy S III di London, Britain pada minggu lalu dilihat oleh penganalisis teknologi sebagai satu ancaman untuk iPhone.
Menawarkan unit pemprosesan yang lebih laju dan skrin sentuh yang lebih besar, Galaxy S III beroperasi menggunakan versi terkini Android dengan pelbagai ciri yang dipertingkatkan.
Galaxy S III didatangkan dengan unit pemprosesan Exynos 4 Quad berkelajuan 1.4 gigahertz (GHz) berbanding 1.2GHz pada Galaxy SII dan 1GHz pada iPhone 4S.
Skrin sentuh AMOLED bersaiz 4.8 inci pula mampu memberikan kepuasan maksimum kepada pengguna. Secara perbandingan, skrin Galaxy S III itu menerima sedikit pelebaran skrin kepada 4.8 inci berbanding Galaxy S II yang bersaiz 4.3 inci.
Dari sudut reka bentuk, Galaxy S III mempunyai rekaan yang lebih bulat berbanding S II dan butang Home yang dilebarkan.
SKRIN yang lebih luas memberikan ekstra kepuasan kepada pengguna.


Ciri lengkap
Berbanding Galaxy S II, beratnya sedikit bertambah daripada 116 gram kepada 133 gram. Namun, peningkatan berat itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu kekurangan kerana maklum balas pengguna Galaxy S II yang mahukan telefon yang tidak terlalu ringan agar lebih selesa dipegang.
Dari sudut rangkaian dan capaian internet, Galaxy S III menawarkan ciri baharu iaitu sokongan rangkaian 4G LTE. Piawaian LTE atau Long Term Evolution yang memperlihatkan kepekaan dan sokongan Samsung terhadap perkembangan sistem rangkaian tanpa wayar berkelajuan ultra untuk pengguna telefon bimbit dan terminal data.
Ia membolehkan capaian berkelajuan seperti 42 megabait persaat dicapai. Angka itu bukan nilai kelajuan maksimum kerana LTE memberikan fleksibiliti kepada syarikat telekomunikasi untuk mengadaptasi kelajuan yang jauh lebih tinggi pada masa akan datang.
Sama seperti Galaxy S II dan iPhone 4S, Galaxy S III mempunyai pilihan memori dalaman berkapasiti 16, 32 dan 64 gigabait. Pilihan saiz storan yang pada pendapat peribadi penulis lebih daripada cukup bagi pengguna telefon yang tidak terlalu banyak memuat turun fail atau aplikasi untuk telefon mereka.

KUALITI yang ditawarkan Galaxy S III dilihat menjadi satu ancaman baharu untuk iPhone.


Galaxy S III juga mempunyai RAM berkapasiti 1 gigabait menyamai atau setidaknya hampir menyamai keperluan RAM minimum sebuah komputer hari ini.
Satu ciri unik pada model S III ialah sensor yang mampu mengesan mata pengguna. Oleh itu skrin tidak akan terpadam atau dikunci secara automatik, sesuatu yang amat berguna terutamanya ketika memainkan video pada telefon.
Satu lagi ciri menarik ialah S-Beam yang menawarkan pemindahan fail pantas untuk peranti digital lain dengan hanya menyentuhkan kedua-duanya. Ciri itu juga boleh digunakan untuk berkongsi kandungan skrin dengan telefon lain.

Silinder komposit hanya 4.7kg


Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR



TAMPIL dengan rekaan yang lebih ringan, unik dan paling penting dijamin tidak meletup dalam apa jua situasi, pengeluaran silinder gas petroleum cecair (LPG) komposit buatan tempatan bakal menyuntik inovasi baharu dalam penggunaan tong gas memasak.
Dengan variasi rekaan tong gas yang dihasilkan, pengguna juga boleh memilih rekaan yang digemari untuk diguna pakai di dapur masing-masing.
Inovasi tersebut bakal dibangun dan dipasarkan oleh syarikat 100 peratus milik bumiputera, Faidhi Holdings Sdn. Bhd. (FHSB) menjelang awal tahun hadapan.
Timbalan Presidennya, Hasrul Hisham Kassim, 31, berkata, kebimbangan mereka terhadap insiden letupan tong gas yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar membuatkan pihaknya mengambil inisiatif mencipta produk tersebut.
“Sebenarnya, penghasilan silinder gas LPG komposit itu diilhamkan oleh presiden kami, Abu Talib Abu yang merupakan seorang bekas jurutera. Beliau yang bertanggungjawab terhadap inovasi rekaan tersebut,” ujar Hasrul Hisham ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Wisma UOA Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Hasrul Hisham lagi, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin jika menggunakan rekaan yang dinamakan Silinder LPG 1Malaysia (SL1M) itu. Ia diperbuat daripada bahan lebih ringan menggunakan plastik dan gentian kaca yang menjadikan ia tahan karat dan terbukti 100 peratus kalis letupan.
Pelancaran produk inovatif itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu sekali gus berbangga dengan pencapaian anak tempatan yang berjaya dalam menghasilkan rekaan sedemikian.
Lantaran itu, beliau turut menyarankan syarikat minyak di negara ini agar mengambil langkah positif untuk menukar tangki besi LPG sedia ada kepada tangki komposit terbaharu itu.

SL1M turut memenangi tempat pertama dalam Anugerah Reka Bentuk Perindustrian sempena Hari Harta Intelek Negara 2012 di Kuantan, Pahang pada 28 April lalu.


“Apa yang penting, terdapat beberapa ciri istimewa untuk menjadikan tong gas SL1M ini barang yang wajib dimiliki oleh setiap rumah atau restoran di Malaysia. Antaranya ia bersifat mesra pelanggan kerana ringan dan mudah diangkat terutama oleh kaum wanita.
“Jika tong gas biasa yang kosong seberat 18 kilogram (kg), tetapi dengan SL1M, perbezaan beratnya berjaya dikurangkan sehingga 61.5 peratus iaitu hanya seberat 4.7kg.” jelas Hasrul Hisham.
Jimat kos
Sewaktu sidang media selepas SL1M dilancar, Abu Talib memberitahu, menerusi pengeluaran silinder komposit tersebut, pihaknya dijangka dapat membantu kos penjimatan sehingga RM7.3 bilion daripada segi kos penyelenggaraan, pengitaran dan cat semula berdasarkan kepada jangkaan 20 juta pengguna SL1M dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tambahnya, pengeluaran silinder gas LPG berkenaan akan dilakukan di kilang berkapasiti rendah seluas 20.2 hektar di Pulau Carey, Selangor dalam tempoh enam hingga tujuh bulan lagi.
“Keluaran pertama hanya akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang, memandangkan kapasiti pengeluaran yang terhad di kilang berkenaan iaitu 50,000 unit sebulan dan kami menjangkakan pasaran akan dikembangkan selepas kilang kedua yang berkapasiti tinggi beroperasi mulai tahun hadapan.
“Kilang berkapasiti tinggi ini mampu menghasilkan tiga juta silinder gas LPG komposit setahun dan mampu memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara,” jelasnya.
FHSB juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perfect Illusion Corp Sdn. Bhd., yang dilantik sebagai pengedar utama silinder berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

KEJADIAN letupan kuat didakwa berpunca daripada saluran gas memasak di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery pada 28 September 2011 menggemparkan negara.


Selain itu, syarikat berkenaan menandatangani perjanjian dengan syarikat dari Korea, Creative Engineering Service Company Limited untuk membangunkan kilang pengeluaran di negara Malaysia.
Untuk kilang berkapasiti rendah, ia dibina dengan kos antara RM25 juta hingga RM30 juta termasuk modal pusingan, sementara kos pembinaan kilang berkapasiti tinggi mencecah RM300 juta kerana ia menggunakan teknologi canggih.
Apa yang pasti, harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih murah berbanding produk sedia ada di pasaran ketika ini, namun kos sebenar akan ditentukan kelak selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Katanya, pengeluaran produk berkenaan dihasilkan menerusi pemberian geran berjumlah RM800,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
“Kami sudah memulakan kajian dan penyelidikan sejak tahun 2005 sebelum menghasilkan prototaip pertama dan sebanyak RM3.3 juta sudah dilaburkan untuk tujuan itu,” jelasnya.
FHSB kini membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar untuk negeri dan daerah.

Sunday, May 6, 2012

Malaysia perlu institut farmaseutikal halal


ARKIB : 04/05/2012
Institut farmaseutikal halal negara perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan penyelidik untuk menghasilkan ubatan yang halal.- Gambar hiasan
PENGAMBILAN bahan makanan daripada sumber dan proses yang halal sangat dititikberatkan oleh umat. Sebab itu kewujudan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) mendapat sambutan baik kerana ia dianggap penyelesaian kepada kemelut pemakanan halal yang tidak pernah selesai itu.
Ramai yang beranggapan itu memadai dalam memastikan sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah benar-benar halal dan tayyiba.
Namun, sedarkah kita bahawa setiap manusia termasuk umat Islam sentiasa mengalirkan darah di dalam tubuh yang mengandungi sumber yang tidak halal.
Kedengaran agak mengelirukan. Namun itulah situasi sebenar yang berlaku dalam sektor farmaseutikal di negara ini.
Mustahil jika dikatakan ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mendapat penyakit dan mengambil ubat. Hampir semua penyakit tersebut memerlukan rawatan dengan bantuan ubat-ubatan.
Namun, sejauhmana keyakinan kita terhadap kesucian ubat-ubatan tersebut daripada bahan yang tidak halal.
Malah, terdapat banyak ubat-ubatan yang jelas mengandungi elemen campuran tidak halal.
Inilah yang dibimbangi Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman.
Tetapai terdapat juga ubat-ubatan yang terdapat di pasaran di negara ini tidak halal yang mana ia bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit, dan telah menjadikan setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan ubatan yang haram," (riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun kata Syed Azhar, dalam situasi ini, Islam membenarkan umatnya menggunakan bahan yang tidak halal dalam ubatan dengan dinisbahkan sebagai situasi darurat.
Pun begitu, sudah tiba masanya negara melakukan transformasi terhadap industri farmaseutikal yang sedia ada kepada farmaseutikal halal.
"Sampai bila negara harus bergantung dengan nisbah darurat ini? Adakah selama-lamanya tanpa mengambil apa-apa tindakan? Sedangkan kita mempunyai ramai tenaga pakar dan juga peralatan teknologi yang serba canggih.
"Oleh itu, para penyelidik dan pakar-pakar dalam bidang perubatan perlu bekerjasama dalam mengubah industri farmaseutikal negara kepada sumber halal dengan menubuhkan sebuah badan atau institut farmaseutikal halal di peringkat negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja yang bertajukUbatan Halal Dalam Industri Farmaseutikal Hari Ini: Langkah Kepada Penghasilan dan Pemerkasaan dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan penggunaan elemen yang diragui terutamanya unsur babi dan alternatifnya daripada perspektif pemakanan dan juga meninjau isu kepenggunaan dan penguatkuasaan berkaitan industri halal.
Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan ahli akademik yang berpengalaman dalam penyelidikan halal.
Syed Azhar berkata, institut farmaseutikal halal itu penting bagi mengumpulkan dan menerbitkan hasil kajian atau penyelesaian terhadap sesuatu penyelidikan yang dilakukan.
"Fenomena di negara ini, kita mempunyai ramai pakar dan penyelidik daripada industri dan juga akademik. Tetapi ramai yang hanya pakar menjalankan kajian masing-masing semata-mata untuk bersaing.
"Kita juga lebih suka memerhati dan meneliti sekadar atas kertas tanpa mengambil apa-apa tindakan.
"Dengan adanya institut farmaseutikal halal ini, diharap ia boleh menggabungkan segala kepakaran dalam semua bidang bagi menghasilkan ubatan yang halal," ujarya.
Sementara itu, Pengurus Besar, Pejabat Transformasi dan Kecemerlangan Halal, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Roziatul Akmam Osman berkata, terdapat lima perkara perlu dipatuhi bagi mengharuskan penggunaan ubat-ubatan tidak halal dalam perspektif Islam.
"Lima perkara itu adalah, ubat tersebut mestilah tiada bahan suci lain yang boleh diguna sebagai ganti. Rawatan perlulah bersifat kritikal dan sangat diperlukan bagi kesejahteraan pesakit.
"Hanya doktor Muslim yang fasih mengenai ilmu dan hukum ini sahaja boleh memberikan rawatan menggunakan ubat-ubatan ini. Pesakit dan waris terdekat haruslah diberikan penerangan sejelasnya oleh doktor mengenai perkara ini.
"Ubat tersebut hanya boleh digunakan untuk jangkamasa tertentu sahaja mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor," katanya.

Bolehkah orang miskin berzakat?


ARKIB : 27/04/2012

BOLEHKAH seorang miskin itu memberikan zakat? Ini kerana, di dalam hadis ada digambarkan betapa ada sahabat nabi yang miskin juga ingin bersedekah. Harap dapat penjelasan.
Jawapan
Tahniah diucapkan bagi mereka yang miskin tetapi masih mahu mengeluarkan sedekah dan zakat. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan mereka kekayaan harta dan jiwa agar mereka dapat melaksanakan ibadah zakat suatu masa nanti, Amin.
Sememangnya pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, ramai para sahabat besar yang miskin. Misalnya Abu Hurairah, Salman al-Farisi, Ammar bin Yassir, Bilal bin Rabah dan dalam kalangan sahabat wanita, Ummu Sulaim adalah contoh ibu tunggal yang miskin.
Pernah berlaku, golongan ini merasa sedih kerana kemiskinan harta telah menghalangi mereka daripada bersedekah. Lalu mereka telah menemui Rasulullah SAW dan bertanya perihal amalan yang dapat dilakukan oleh orang-orang miskin seperti mereka.
Daripada Abu Dzar r.a. katanya: "Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada baginda: "Kaum hartawan memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti mana kami solat, berpuasa seperti mana kami berpuasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka."
Jawab Rasulullah SAW: Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah, (riwayat Bukhari)
Oleh itu, dalam hal ini memberikan sedekah tidak semestinya dengan harta. Sedekah boleh dilakukan dengan tenaga, kata-kata hatta dengan senyuman.
Ia berbeza dengan zakat, kerana zakat adalah ibadah fardu yang wajib memenuhi segala syaratnya. Hanya mereka yang memenuhi syarat wajib zakat sahaja, wajib mengeluarkan zakat hartanya.
Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji as-Syafie dinyatakan: "Zakat bukanlah ibadat tubuh badan semata-mata, sehingga ia memerlukan syarat-syarat taklif, ataupun kewajipannya digugurkan disebabkan kurangnya kemampuan mukalaf," (hal. 417)
Maka, dalam hal ini orang yang tidak mempunyai harta yang mencapai paras minimum kekayaan dalam tempoh setahun (cukup nisab dan haul), maka tidaklah wajib berzakat.
Mereka sebaliknya perlu menggunakan harta yang dimiliki itu untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan semua tanggungan nafkah yang wajib. Misalnya membeli makanan dan belanja pendidikan.
Jika seorang suami misalnya, dia wajib memastikan harta yang dimiliki itu dimanfaatkan untuk nafkah anak dan isterinya. Termasuklah kedua ibu bapanya jika mereka juga miskin.
Orang yang menanggung nafkah wajib ini, jika dengan berzakat itu menyebabkan tanggungan nafkah wajibnya pula terabai dan menderita, seperti menderita kelaparan; maka dia dianggap berdosa.
Maka, keutamaan ketika itu adalah untuk tanggungan wajibnya, misalnya membeli makanan untuk mereka. Maka, pada waktu itu adalah haram hukumnya jika dia masih mahu mengeluarkan zakat.
Hal ini adalah selaras dengan apa yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang apakah yang perlu mereka infakkan (zakat), (maka) jawablah: apa-apa yang berlebih (daripada keperluan). (al-Baqarah: 219)
Sebab itulah, pada Hari Raya Aidilfitri misalnya, hanya orang-orang yang mempunyai makanan yang cukup untuk dirinya dari malam hari raya sehingga keesokan harinya sahaja yang wajib mengeluarkan zakat fitrah. Jika tiada makanan, bukan dia yang wajib berzakat; bahkan dia yang perlu menerima zakat. Inilah batas kefarduan yang ditetapkan oleh Islam.
Oleh itu, kesimpulannya bagi orang-orang miskin, utamakanlah sedekah sunat kerana sedekah tidak mempunyai syarat wajib ke atasnya. Bahkan sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Memberi seringgit dua ke dalam tabung masjid pada setiap minggu boleh dianggap sedekah, dan ia tidaklah membebankan.
Abu Mas'ud r.a pernah menyatakan: Kami diperintahkan (oleh) Rasulullah SAW supaya bersedekah, sedangkan kami hanya (bekerja) sebagai pekerja kasar atau kuli. Namun Abu 'Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lain-lain mengikutinya dengan menyedekahkan apa saja, namun lebih banyak daripada itu, (riwayat Muslim)
Memberikan zakat hanyalah terbeban kepada orang-orang kaya. Oleh itu, orang-orang miskin yang mahukan pahala berzakat, hendaklah berusaha dengan lebih gigih agar mendapat harta dan kelak mampu pula mengeluarkan zakatnya.
Sabda Nabi SAW: Setiap Muslim wajib bersedekah (berzakat). Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi SAW menjawab: " (Hendaklah dia) bekerja dengan kebolehan tangannya untuk faedah bagi dirinya lalu bersedekah (berzakat).(riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.
RALAT: Pada Bicara Zakat bertajuk 'Zakat barang perhiasan' bertarikh 13 April 2012, terdapat kesalahan pada perkataan terakhir dalam perenggan kedua terakhir, iaitu: Suka juga ditambahkan di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri, hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia melebihi URUF. Perkataan yang sebenarnya ialah NISAB, ini kerana uruf hanya diberikan kepada wanita Muslimah. Harap maklum.

Hukum bukan Islam bayar zakat


ARKIB : 04/05/2012
perlakuan baik serta ikhlas adalah amat dituntut dalam Islam. - Gambar hiasan
SAYA mempunyai seorang teman yang bukan Islam. Dia mendakwa setiap tahun dia mengeluarkan zakat kepada orang-orang miskin dan anak-anak yatim yang beragama Islam. Alasannya, setelah dia berzakat maka perniagaannya kian meningkat. Setahu saya, zakat hanyalah wajib ke atas orang Islam. Apakah hukumnya dan mohon penjelasan pihak ustaz?
Jawapan
Terlebih dahulu, syabas dan tahniah diucapkan kepada teman saudara itu, kerana masih mahu mengeluarkan zakat walaupun dia sedar dirinya belum lagi menganut agama Islam. Mudah-mudahan Allah SWT membukakan jendela hatinya untuk menerima kemasukan cahaya Islam dan menjadi seorang Muslim yang soleh suatu masa nanti.
Suka dimaklumkan, bahawa zakat adalah kefarduan yang telah tertentu syaratnya. Antara syarat wajib bagi seseorang itu sebelum dia boleh mengeluarkan zakat, ialah Islam.
Oleh itu, secara jelas bahawa seseorang yang masih belum menjadi Islam, maka dia masih belum layak mengeluarkan zakat.
Allah SWT menyatakan di dalam firman-Nya: Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23)
Ayat di atas ditafsirkan oleh para mufassirin, betapa amal perbuatan yang baik yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, ia tidak akan mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Di akhirat, ia ibarat debu-debu berterbangan dan tidak mampu untuk menjadi 'anak kunci' bagi memasuki syurga Allah. Ini kerana, amal itu tiada nilai di sisi-Nya melainkan mereka terlebih dahulu menjadi seorang Muslim.
Oleh itu, seseorang yang belum Islam apabila mereka mengeluarkan zakat, ia hanyalah suatu pemberian yang bersifat kemanusiaan semata-mata. Hukumnya tidak sah, kerana pembayarnya bukan seorang Islam.
Namun, pihak pengurusan zakat boleh menerima pemberian itu dan dianggap sahaja sebagai penerimaan biasa, sama ada hadiah atau apa sahaja, dan bukannya zakat. Wang itu boleh dimasukkan ke dalam Baitulmal dan penggunaannya adalah untuk maslahah atau kebajikan umum.
Namun begitu, bagaimana pula jika satu masa nanti si bukan Islam itu memeluk Islam, adakah dia wajib mengqada kembali zakatnya? Jawabnya, tidak wajib bahkan tidak perlu sama sekali.
Adakah akan diberi pahala atas amal kebaikannya sebelum Islam selepas dia memeluk Islam? Jawapannya, pahala dan dosa hanya diambil kira selepas waktu keislamannya. Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang memeluk Islam, kemudian (selepas) Islamnya menjadi baik, nescaya Allah menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu, setiap (amal) kebaikannya dibalas (Allah) sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda. Sedangkan kejahatannya dibalas (hanya) setimpal dengan kejahatan itu, melainkan jika Allah memaafkannya. (riwayat Bukhari).
Apakah orang yang murtad termasuk kategori bukan Islam? Jawabnya tidak, bahkan orang yang murtad perlu dinasihati atau jika perlu diperangi oleh pemerintah Islam sehingga mereka kembali memeluk Islam dan mengeluarkan zakat hartanya.
Hal ini disandarkan kepada ijtihad Abu Bakar as-Siddiq. Bahkan fuqaha menyatakan bahawa, jika seseorang itu kembali memeluk Islam selepas menjadi murtad, dia hendaklah mengqadakan semua zakat yang telah terlepas waktunya semasa dia menjadi murtad.
Bolehkah pula orang bukan Islam dipaksa membayar zakat? Jawabnya tidak. Allah SWT menyatakan: Tiada paksaan dalam beragama (memeluk agama Islam). (al-Baqarah: 256). Fuqaha menegaskan, bukan Islam tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu ibadah yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam, kecuali sesudah mereka memeluk Islam dan mendalami Islam, baharulah mereka boleh dipaksa melakukannya.
Hal ini berpandukan kaedah Muadz bin Jabal yang diperintahkan oleh Rasulullah agar hanya mengambil zakat setelah penduduk Yaman memeluk Islam dan mendirikan solat. Ini menunjukkan betapa telitinya nabi dalam melaksanakan kewajipan secara berperingkat-peringkat kepada penduduk Yaman.
Hal ini juga boleh dijadikan iktibar kepada kita dalam melaksanakan kewajipan zakat kepada orang-orang yang baharu memeluk Islam, yakni hendaklah melalui proses pendidikan (tarbiyyah) baharulah diikuti dengan penguatkuasaan.
Berkongsi harta
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa agar orang-orang yang masih belum menerima Islam ini tetapi sudah bersedia berkongsi hartanya agar mendapat hidayah daripada Allah SWT. Ini kerana, amal perbuatan yang baik itu amat besar ertinya jika dia telah memeluk Islam.
Sebagaimana sebuah kisah berlaku pada zaman nabi, seorang pemuda telah datang dan berkata: Saya akan turut berperang lebih dahulu, kemudian baru saya memeluk Islam." Nabi SAW bersabda: "Islamlah engkau lebih dahulu, kemudian berperang!" Lalu lelaki itu pun memeluk Islam, kemudian dia turut berperang dan terbunuh. Rasulullah SAW bersabda: "Dia (lelaki berkenaan) bekerja sedikit, tetapi banyak beroleh pahala. (riwayat Bukhari). Wallahua'lam.

Penjara, denda jika larang ibu susui anak


2012/05/07

JAKARTA: Mana-mana pihak di Indonesia yang didapati sengaja melarang ibu menyusukan bayi mereka dengan susu ibu berdepan hukuman penjara setahun dan denda maksimum Rp 100 juta (RM32,700), kata pakar perubatan. 

Anggota Persatuan Doktor Indonesia, Dr Utami Rusli, dipetik oleh kompas.com sebagai berkata peraturan berkenaan ditetapkan dalam Undang-Undang Kesihatan.
“Kerajaan memandang serius masalah menyusukan bayi ini kerana ia memberi kesan besar kepada perkembangan dan kesihatan bayi berkenaan” katanya. Menurut Utami, kerajaan turut menguat kuasa peraturan baru yang membolehkan ibu menyusukan bayi mereka dengan susu ibu sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.

Beliau menambah Presiden Su silo Bambang Yudhoyono menandatangani peraturan baru berkenaan pada 1 Mac lalu. 

Sementara itu, seorang lagi anggota persatuan berkenaan, Ayu Pertiwi, berkata peraturan baru itu turut melarang sebarang aktiviti yang mungkin menghalang program penyusuan ibu yang dilancarkan kerajaan. 

“Ia termasuklah untuk melarang syarikat farmaseutikal dari mempromosikan manfaat produk susu formula kepada orang awam,” katanya. 
Undang-undang kesihatan menetapkan ibu perlu menyusukan bayi dengan susu ibu untuk enam bulan pertama selepas kelahiran. 

Bekas Menteri Kesihatan, Endang Rahayu Sedyaningsih, ketika masih berkhidmat mengharamkan iklan susu formula dan meminta pembinaan bangunan pejabat menyediakan kemudahan kepada ibu di tempat kerja. – Agensi